Baca sampai habis kerana itu adalah lebih baik. Cerna Minda. Usah bekukannya.
Oleh : Zainal Salleh
Pergeseran di antara dua parti politik terbesar Melayu Malaysia kini semakin getir. Baik Umno mahupun PAS, masing-masing tidak mahu mengalah. Ego dan ketaksuban dan assabiyah semakin menjadi-jadi hingga gelagat kedua-duanya sudah masuk langkah menyanggah ajaran Islam sendiri.Pastinya ini adalah sesuatu yang malang bagi umat Melayu. Namun apabila dilihat dari sudut pengalaman politik umat Islam sejagat, ia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap luar biasa.Dalam sejarah umat Islam, perbalahan yang membawa pertumpuhan darah bukanlah sesuatu yang baru. Dalam Perang Jamal dan Perang Siffin, ramai yang terkorban kerana cuba menegakkan kebenaran menurut kacamata masing-masing.Yang menyedihkan pertempuran berdarah ini membabitkan sahabat kerabat baginda Rasulullah SAW sendiri. Namun Rasulullah SAW semasa hayat baginda sudah menyimpulkan bahawa perbedaan pendapat di kalangan umat sebenarnya adalah satu rahmat; sekurang-kurangnya tidak semua umat akan tersesat oleh kerana pegangan yang tidak menepati kebenaran.
Menyatupadukan umat
Pengajaran daripada Rasulullah berhubung perbedaan pandangan ini bukanlah bermaksud bahawa Baginda bersikap pesimis apatah lagi fatalistik sehingga putus harapan bahawa umat boleh bersatu. Malah sebaliknya, petunjuk yang diberikan oleh Allah SWT menerusi malaikat Jibrail kepada Rasulullah banyak mengandungi pedoman yang jelas, tegas dan tuntas betapa perpaduan adalah anak kunci keredhaan Allah SWT.
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh” Surah Al Jumaah ayat 4.
Malah di samping itu Allah juga membimbing umat Nabi Muhammad SAW supaya sentiasa mengutamakan usaha untuk menyatupadukan umat yang bersengketa. Lantas muslimin dipimpin supaya mengambil sikap diplomatik dan adil terhadap mana-mana pihak muslimin yang bertikai.
“Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil. Sesungguhnya, Allah mencintai orang yang berlaku adil.” Al Hujurat ayat 9.
Di sini adalah jelas bahawa dalam menemukan pihak-pihak muslimin yang bertikai satu prinsip mesti dipatuhi - keadilan. Secara adil, pihak ketiga yang cuba mendamaikan umat yang bersengketa mestilah menggunakan neraca keadilan dan wajib berpihak kepada golongan yang teraniaya sehingga wajib menggunakan kekerasan bagi membela yang tertindas.
Menzalimi saudara seagama
Apabila pihak yang menzalimi saudara seagama mereka sudah dapat ditundukkan dan lunak kepada perintah Allah, langkah seterusnya yang perlu diambil ialah mendamaikan mereka. Ini bermakna sikap kepala batu dan hanya mahu menang sahaja harus diketepikan.Sehubungan itu, perbalahan Umno dengan PAS dan pada peringkat tertentu meliputi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mesti dihalakan kepada penghujungnya - perdamaian! Ini perintah Allah. Gunakanlah hujah apapun jua, perintah Allah tidak boleh disanggah apatah lagi dikesampingkan begitu sahaja.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” al Hujurat ayat 10.
PAS dan Umno harus mengambil iktibar daripada perintah Allah yang cukup jelas ini.Allah tidak akan menurunkan rahmatNya ke atas orang yang memandang remeh ketetapanNya ini.
Cemuh mencemuh
Episod persaingan Umno-PAS kini nampaknya bukan sahaja tidak menjuruskan ke arah mencari rahmat Allah malah menjadi semakin meruncing dan mungkin menikam dasar keimanan masing-masing. Malah pergeseran politik muslimin kedua-dua belah pihak seolah-olah menunjukkan keangkuhan terhadap perintah dan larangan Allah.Cemuh mencemuh, fitnah memfitnah serta benci membenci semakin semarak dihamburkan oleh pengikut dan pemimpin kedua-dua belah pihak; seolah-olah tidak pernah menerima perintah Allah SWT.
“Wahai orang-orang beriman janganlah sesuatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olok)…” al Hujurat ayat 11.
Malangnya, apa yang dilihat dihamburkan oleh pemimpin dan pengikut PAS dan Umno hari ini dan kemudian disebarkan oleh media milik masing-masing serta dilebarkan oleh alam siber benar-benar tidak menghiraukan firman Allah.
“Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Al Hujurat ayat 11.
Nauzubillah. Bagi politikus muslim tetapi tidak menghiraukan peringatan Allah ini seharusnya mereka insaf bahawa tindak tanduk mereka dalam percubaan menundukkan saingan politik mereka mungkin bukan sahaja tidak mendapat rahmat Allah malah akan menggolongkan mereka dalam kategori manusia yang zalim di sisi Allah!
Bersandar adab
Rukun politik menurut Islam bersandar adab. Sementara paksi adab yang baik ialah keadilan. Adilkah Pas yang berulang-ulang kali menuduh Umno tidak memperjuangkan Islam kerana gagal meyakinkan kerabat politik mereka yang bukan Islam seperti MCA, MIC dan lain-lainnya untuk memahami Islam?Malah, sebaliknya ada pemimpin dan penyokong PAS yang menuduh Umno bertanggungjawab menggalakkan mereka untuk mengutuk undang-undang Allah seperti hudud misalnya!Jika benar demikian, apakah keadaannnya yang menyebabkan PAS tidak berjaya dalam banyak pilihanraya umum untuk menawan Gua Musang di Kelantan misalnya, kerana gagal meyakinkan sebilangan besar pengundi dari keturuan Orang Asal akan keadilan dan kebesaran Islam?Apakah pula yang telah dilakukan oleh PAS untuk mengajak pribumi Sabah dan Sarawak untuk mengikuti ajaran Islam sehingga ia sering gagal sebegitu teruk dalam pilihanraya di kedua-dua negeri itu? Mesti ada yang tidak kena dengan usaha dakwah PAS! Atau, PAS lebih mengutamakan persaingan politik daripada kebenaran?Umno ada cacatnya. Begitu juga PAS. Malangnya, kedua-duanya berasa pihak dan hujah mereka sahaja yang benar. Malah, pemimpin PAS berkali-kali menyatakan kesediaan untuk membubarkan parti itu jika Umno bersetuju untuk melaksanakan ajaran Islam di negara ini dan menyertai Umno!Umno bukan sempurna Islamnya. Begitu juga PAS. Yang Maha Sempurna adalah Allah. Petunjuk daripadanya sudah sedia diperturunkan oleh Rasulullah kepada seluruh umat Islam; termasuk Umno dan PAS.Hanya nafsu yang menghalang mereka berdamai dan berlaku adil. Jika umat Islam mula menunjukkan kejengkelan mereka terhadap Umno dan PAS yang kini nampaknya lebih senang bermuafakat dengan bukan Islam, jangan kesal nanti sebagai pihak yang mendakwa mahu mengikut ajaran Islam kelak akan terperosok di neraka kerana sebenarnya mereka amat berdosa membiarkan umat tidak terpimpin kerana didorong ego dan nafsu serakah ingin berkuasa.
# Sekadar perkongsian dalam mengajak kearah kebersatuan umat.
# Tulisan ini diekstrak dari sini
No comments:
Post a Comment