Monday, August 26, 2013

Paranoid Masyarakat Barat : Punca dan Sikap Umat Islam Zaman kini


"Islamophobia"
 
Kebejatan isu-isu semasa yang berkaitan agama kebelakangan ini membuatkan aku rasa terpanggil untuk menulis di ruangan ini. Menulis untuk memberikan pendapat dalam sebuah negara yang menjamin kebebasan berpendapat. Maka aku cuba gunakan ianya dengan sebaik mungkin.
 
Paranoid masyarakat barat kepada Islam atau "Islamphobia" bukan lagi perkara baru. Hal ini berpunca dari pelbagai faktor. Kita tidak dapat menafikan munculnya sikap paranoid masyarakat barat terhadap masyarakat Islam pada hari ini adalah disebabkan sikap umat Islam sendiri. Hari ini, telah wujud begitu banyaknya golongan-golongan pelampau yang melaungkan slogan perjuangan di atas nama Islam tetapi hakikatnya seruan Islam mereka itu tersasar jauh daripada apa yang disyorkan oleh Islam. Mereka secara terang menggunakan kekerasan dan keganasan sebagai langkah dalam memperjuangkan agama yang mana secara nyata bertentangan dengan apa yang telah di ajarkan oleh Islam melalui para Rasul-Nya.

 

Umat Islam perlu menunjukkan sikap yang mulia dan suri tauladan yang baik sepertimana contoh suri tauladan Rasulullah SAW. Allah telah berfirman secara jelas dalam surah ke 33 pada ayat ke 21, memerintahkan kita sebagai umat Islam mencontohi suri tauladan yang baik yang ada pada Rasul. Soalnya, berapa ramai diantara kita yang memahami dan mendalami makna ayat tersebut. Suri tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasul itu bukanlah sekadar cara makan dan cara duduk Rasulullah malah lebih daripada itu. Dengan menunjukkan sikap yang baik ianya boleh memberikan impak positif pada masyarakat bahawa umat Islam bukanlah pengganas sepertimana yang mereka fikirkan.

 

Peristiwa pembukaan Kota Mekah secara aman oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun ke-3 Hijrah setelah menerima tentangan yang sangat hebat oleh penduduk Mekah pada tahun-tahun sebelumnya  adalah suatu contoh terbaik untuk dicontohi dan diikuti oleh umat Islam zaman ini. Peristiwa tersebut telah secara jelas membuktikan bahawa, Islam itu hanya mampu ditegakkan dengan cara yang aman dan sentosa sesuai dengan makna perkataan ‘Islam’ itu sendiri iaitu ‘Salam” yang membawa maksud “Selamat” atau “Sejahtera”. Mana mungkin Islam itu mampu meyakinkan masyarakat barat sekiranya peperangan, keganasan, kekerasan, demonstrasi jalanan, permusuhan, kebencian dijadikan sebagai asas sebuah perjuangan.

 

Maka, apa yang patut dilakukan oleh umat Islam zaman ini ialah membuktikan bahawa Islam itu adalah sebuah agama yang diturunkan oleh Tuhan untuk merahmati sekalian alam sesuai dengan firman Allah di dalam AlQuran surah Al-Anbiyaa ayat 107 yang bermaksud “ Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

 

Tetapi kebanyakan dari kita pasti akan bertanya bagaimana jalannya. Maka, jawapan kepada persoalan tersebut  ialah setiap dari umat Islam itu haruslah kembali kepada ajaran Ilahi iaitu kembali kepada Al Quran dan mengikut kepada Sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasul-Nya. Ini sesuai dengan wasiat terakhir Rasulullah dalam sebuah Hadis sahih yang antara lain berbunyi, “Ku tinggalkan kamu dua perkara pusaka nescaya kamu takkan tersesat selamanya selagi mana kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu kepada Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya”. Hadis tersebut secara jelas menunjukan pesanan Nabi Muhammad di akhir kenabiannya sebelum baginda wafat supaya berpegang teguh kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Maka jelas, hari ini setiap dari kita harus kembali kepada keduanya supaya umat Islam dapat keluar dari situasi yang kian meruncing ini. Penghormatan kepada Islam itu tidak seharusnya diperoleh secara paksa tetapi secara rela dan ikhlas oleh setiap anggota masyarakat setelah dibuktikan dengan pembuktian yang jelas.

 
M.ZULHILMI
26 Ogos 2013 M
17 Syawal 1434 H

No comments: