Alhamdulillah.
Kita baru sahaja selesai menyambut tahun baru kalendar Islam iaitu Tahun 1434 Hijrah. Ini bermakna, telah 1434 tahun sejak peristiwa hijrah Nabi SAW dari Kota Mekah ke Kota Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah. Maka sejak dari itu Islam tersebar luas keseluruh dunia sehingga hari ini. Dan kita bersyukur kerana menjadi sebahagian darinya. Alhamdulillah.
Tetapi, dalam pada umat Islam sedang menyambut hari besar tersebut, sekali lagi Israel dengan biadapnya menyerang dan membunuh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Seperti biasa, alasan yang diberikan ialah untuk mempertahankan dan menjaga keselamatan negaranya dari ancaman pengganas Palestin. Ini bukanlah pertama kali Palestin diserang sebegitu rupa.Tahun berganti tahun,abad berganti abad,tetap,mereka ditindas dan diperlakukan sebegitu rupa tanpa mampu berbuat apa-apa.Foto-foto anak kecil yang sedang menangis disebelah jasad ibubapanya telah banyak disebarluaskan.Anak-anak muda remaja yang hanya mampu berperang menggunakan batu terus bersemangat berjuang mempertahankan negaranya. Telah banyak rundingan damai dan perjanjian dimeterai tapi kesemuanya itu hanyalah ibarat sampah yang tidak berguna. Malangnya, kita juga tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Bukan sahaja kita, malah negara-negara Islam yang berdekatan seperti Jordan,Mesir,Qatar juga hanya mampu melihat dan mengecam tindakan tersebut. Malang sekali.
Sedih.
Maka seperti biasa, bila berlakunya peristiwa-peristiwa yang melibatkan maruah umat Islam seperti ini, maka kebanyakkan dari kita pasti akan cepat melompat dan melenting. Maka, akan ada yang menganjurkan demonstrasi jalanan di hadapan kedutaan atau di tengah-tengah kotaraya. Selalunya selepas selesainya Solat Jumaat dan paling lama pun dalam 4 jam. Bendera-bendera negara bertanggungjawab pastinya akan dibakar disamping sepanduk-sepanduk yang mengeji tentang apa yang berlaku. Ucapan kata-kata caci maki yang membakar semangat akan dihamburkan daripada pimpinan perhimpunan dan ini akan diakhiri dengan penyerahan sekeping memorandum bantahan kepada pihak yang bertanggungjawab. Perhimpunan seperti ini adalah sebagai bukti kepedulian mereka kepada isu semasa umat Islam yang sedang berlaku. Dan kebiasaannya juga, mereka yang menganjurkan perhimpunan-perhimpunan tersebut akan dianggap dan diangkat sebagai hero kerana berani menyatakan pendirian dan berjaya mengumpulkan umat Islam membuat bantahan. Kredit yang besar pasti akan diterima sekiranya pihak itu dari parti-parti politik yang bertanding pada pilihanraya. Tak kiralah apa warna bendera mereka.Janji,jadi hero. Untung-untung menang pilihanraya nanti.
Selain itu,pastinya akan kedengaran seruan-seruan untuk memboikot barangan-barangan atau jenama-jenama yang dikatakan menyokong ataupun berasal dari negara Israel atau dari negara-negara sekutunya seperti Amerika Syarikat dan lain-lain. Penuh timeline Facebook dengan foto-foto yang dihasilkan dengan penuh kreatif bagi menyatakan seruan boikot itu. Jumlah like dan share yang terbanyak diharapkan akan dapat membantu keberjayaan kempen ini. Ya.Kita memang suka buat kerja senang.Duduk depan PC.Buka Facebook.Tekan butang 'like' dan seterusnya 'share' apa sahaja yang dapat membantu menyebarkan dan mempertahankan agama Allah ini.Cukup time. Logout PC dan hidup macam biasa. dan seperti kebiasaannya, kempen ini akan bertahan selama paling lama pun seminggu atau dua minggu. Sebulan pun mungkin boleh jadi.Bergantung kepada tahap kempen tersebut.
Aku bukan nak mengkritik jauh sekali mengeji. Tindakan seperti ini bagus. Tapi aku tak kata betul. Sekurang-kurangnya masih ada sikap kepedulian itu dikalangan masyarakat kita. Masih ada perasaan sayangkan agama dan mahu mempertahankan agama dikalangan masyarakat kita. Tapi ayuh. Mari kita fikirkan sejenak. Apakah tindakan-tindakan tersebut sudah mampu mengubah keadaan yang berlaku? Isu Palestin ini bukan suatu isu yang baru. Malah ianya bermula sejak zaman Nabi-nabi terdahulu lagi. Tanah itu akan tetap menjadi rebutan diantara Islam,Yahudi dan Kristian.Dan sejarah telah menunjukkan tanah itu saling bertukar tangan. Bukan dalam isu ini sahaja, tetapi banyak isu yang melibatkan Islam yang telah terjadi di dunia ini contohnya isu karikatur Muhammad SAW, perang di Syria, masyarakat Rohingya, perang di Afghanistan, perang Iraq dan banyak lagi. Tapi cuba tanya apa yang mampu kita lakukan? Apa sekadar berdemonstrasi dan memboikot itu sudah mencukupi?
Saudaraku,
Allah telah menurunkan sebuah mukjizat yang akan bertahan dan relevan sehingga hari kiamat kepada Nabi junjungan kita,Nabi Muhammad SAW. Dan Nabi SAW sendiri telah memberi jaminan dalam khutbah terakhirnya iaitu antara lain berbunyi, "Kutinggalkan kamu dua perkara pusaka sekiranya kamu berpegang teguh kepada keduanya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya.Iaitu lah Kitabullah dan Sunnah RasulNya"(hadis riwayat).Inilah jaminan yang telah diberikan oleh Rasul kita supaya kita tidak 'tersesat' dalam mencari jalan penyelesaian dalam setiap apa permasalahan yang kita hadapai. Umat Islam nyata pada hari ini telah hampir buntu dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.Maka,apakah kita tidak mahu kembali kepada fitrah yang telah ditetapkanNya?
Ayuh,kita menguasai apa yang sepatutnya kita kuasai.AlQuran itu tidak sahaja diturunkan untuk dibaca dan dipertandingkan ketika Hari Nuzul Quran.Juga tidak hanya diturunkan untuk menghalau syaitan dan iblis.Tidak juga diturunkan untuk dibaca ketika rasa insaf menguasai diri dan untuk mendapat ketenangan hati. Tetapi ianya diturunkan sebagai petunjuk, penjelasan-penjelasan kepada petunjuk dan pembeza di antara hak dan bathil (AQ:2/285). Hanya dengan menguasainya maka kita akan kembali mengangkat Islam itu ditempat yang sepatutnya dan bukan hanya Palestin yang mampu diselamatkan bahkan seluruh dunia kerana Islam itu datang untuk merahmatkan seluruh alam.Rahmatan lil'alamin.
Salam Maal Hijrah 1434.
No comments:
Post a Comment